KUANTAN: Sebanyak 31 premis makanan kotor di daerah ini diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bagi kerja-kerja pembersihan.

Arahan itu dikeluarkan hasil pemeriksaan Operasi Premis Makanan Bersih, Penguatkuasaan Program Jaminan Keselamatan Makanan dan Kebolehkesanan Makanan Negeri Pahang 2023 di sini pada Khamis dan Jumaat.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, sepanjang operasi selama dua hari itu, 31 kilang makanan, 58 restoran dan kedai makan telah diperiksa.

"Sebanyak 244 notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan dengan nilai kompaun RM88,300.

"Daripada jumlah notis dikeluarkan, 140 kesalahan di bawah Peraturan 32 Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 dengan jumlah kompaun RM14,000.

"Selain itu, 34 kesalahan dikesan di bawah Peraturan 33 iaitu pengendali makanan gagal memastikan kuku sentiasa pendek dan tidak memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan dengan jumlah kompaun RM5,100," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Nor Azimi berkata, turut dikesan 22 kesalahan di bawah Peraturan 8, iaitu tidak mempamerkan perakuan pendaftaran premis makanan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan jumlah kompaun RM4,400.

"RM11,000 kompaun dikeluarkan bagi 11 kesalahan di bawah Peraturan 34 iaitu pemilik gagal memastikan premis makanan dalam keadaan bersih manakala 11 kesalahan di bawah Peraturan 3 iaitu pemilik tidak tidak mendaftarkan premis makanan dengan KKM (nilai kompaun RM3,300).

"Sebanyak 10 kesalahan dikesan di bawah Peraturan 9 iaitu pemilik tidak mengadakan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) bagi kilang makanan dengan jumlah kompaun RM 25,000.00 dan empat kesalahan di bawah Peraturan 10 iaitu pemilik gagal untuk mengadakan sistem kebolehkesanan makanan dengan jumlah kompaun RM10,000," jelasnya.

Beliau berkata, turut dikesan lapan kesalahan di bawah Peraturan 11 iaitu menggaji pekerja yang tiada suntikan tifoid dan tiada kursus pengendali makanan dengan jumlah kompaun RM11,000.

Jelas beliau, operasi itu dijalankan bertujuan mengambil tindakan penguatkuasaan kepada pengilang-pengilang makanan yang tidak mematuhi kehendak-kehendak yang telah diperuntukkan.

"Selain itu, pemeriksaan premis makanan bersih juga dijalankan bagi memastikan premis makanan mematuhi kehendak-kehendak yang telah diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983," katanya.

- Sinar Harian